Nyaris cicir kerana miskin
Oleh AZMY MOHAMED
TATKALA ramai yang merayu memohon ke sekolah berasrama penuh (SBP), ada segelintir yang terpaksa menolak tawaran. Bukan tidak berminat atau takut berjauhan daripada keluarga tetapi akibat faktor kemiskinan.
Prihatin dengan kesusahan mereka, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kluster, Norlia Mohd Shuhaili, sanggup menjemput mereka dengan van sekolah.
Peristiwa tersebut berlaku pada 2007 Ketika beliau menjadi Pengetua Cemerlang SBP Integrasi Gombak. Selepas pendaftaran pelajar baru tingkatan satu selesai, beliau mendapati tiga pelajar Projek Khas untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan RM720 ke bawah gagal menghadirkan diri.
Beliau jadi musykil kerana segalanya ditanggung kerajaan termasuk kelengkapan sekolah. Mereka hanya perlu 'bawa diri' sahaja seperti 16 pelajar lain dalam kategori ini di sekolah itu.
Atas rasa sayangkan anak bangsa, tanpa lengah beliau pergi melawat keluarga tiga pelajar tersebut untuk mengetahui puncanya dan melihat sendiri kesulitan yang mereka hadapi.
Selain masalah kewangan, rupa-rupanya keluarga terbabit juga tidak tahu lokasi sekolah.
Setelah berbincang dengan keluarga terbabit, kemudahan pengangkutan disediakan untuk mereka ke Kuala Lumpur bagi mendapat pendidikan dalam suasana yang kondusif.
|
|
"Mereka berpotensi kerana mampu mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun belajar dalam serba kekurangan," jelasnya.
Terbukti, telahan beliau tepat. Dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, prestasi kesemua pelajar Projek Khas itu amat membanggakan. Lapan orang mendapat 9A, tujuh orang 8A dan empat orang memperoleh 7A.
Pengetua Cemerlang sekolah itu, Shariffah Asmak Alwee memberitahu, pencapaian ini membuktikan kemiskinan bukan halangan untuk berjaya dengan cemerlang.
Katanya, keupayaan dan kebolehan mereka setanding dengan pelajar lain.
"Selain kesungguhan mereka, kejayaan ini turut dibantu oleh komitmen jitu para guru," ujarnya di sekolah itu baru-baru ini.
Salah seorang pelajar yang gagal mendaftar masuk tiga tahun lalu, Muhammad Badrul Mat Isa, 16, berjaya mendapat 8A dalam PMR 2009.
Dia bersyukur kerana Projek Khas ini membolehkannya bukan sahaja cemerlang akademik malah membentuknya menjadi insan yang berdisiplin.
"Saya rasa sangat bertuah dan tidak akan mensia-siakan peluang ini untuk mengubah taraf hidup keluarga," tuturnya sebak.
Muhammad Badrul menerima sumbangan wang saku bulanan daripada Kacamuda Resources Sdn Bhd.
Rakannya, Mustaffa Ibrahim, 16, yang memperoleh 9A dalam PMR baru-baru ini juga tidak hadir pada hari pendaftaran ke tingkatan satu pada 2007.
Seperti Muhammad Badrul, dia juga sekadar menelefon guru untuk mengetahui keputusan PMRnya.
"Sokongan guru dan belajar secara berkumpulan," kata Mustaffa ringkas menyingkap rahsia kecemerlangannya.
Mohamad Noor Ismail Awang, 16, pula tidak mendaftar diri kerana kedudukan SBP Integrasi Gombak yang terlalu jauh dari rumahnya di Kampung Gajah, Perak.
Anak sulung daripada lima beradik kini selesa tinggal di asrama kerana segalanya telah disusun atur mengikut jadual.
"Akademik dan kokurikulum berjalan seiring," kata pelajar yang mendapat 8A dalam PMR ini.
Ketiga-tiga pelajar ini berterima kasih kepada bekas Pengetua sekolah itu, Norlia Mohd Shuhaili kerana berjaya membuka minda mereka untuk mendepani cabaran kehidupan.
Sementara itu, dua lagi pelajar Projek Khas ini, Arifah Zakiah Badruzzaman, 16, dan Noraishah Latiff, 16, juga berjaya mendapat 9A dalam peperiksaan itu.
Bagi Arifah Zakiah, menumpukan perhatian dalam kelas merupakan resipi kejayaannya.
"Berkongsi pengetahuan dengan rakan dan jangan lokek ilmu," pesan pelajar yang bercita-cita untuk menjadi pakar bedah itu.
Noraishah pula tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang tersebut kerana dalam peperiksaan percubaan dia sekadar mendapat 1A sahaja.
Apabila diminta berkongsi tip kejayaan, dia berkata: "Nota berbentuk peta minda yang saya buat mengikut kreativiti sendiri."
Noraishah pernah dinobatkan sebagai pelajar terbaik dalam membuat nota Geografi.
Dia yang suka melukis berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.